OXFORD: Sarawak menyimpan kira-kira satu bilion tan karbon melalui kekayaan sumber hutan di negeri ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, sumber hutan terbabit pula meliputi 62 peratus kawasan tanah negeri.
Sehubungan itu katanya, Sarawak
menjalin kerjasama strategik bersama Oxford Institute for Energy Studies (OIES).
“Kerjasama ini memanfaatkan kepakaran global OIES untuk memajukan cita-cita Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, pengurusan karbon dan peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama ini turut memberi penekanan kepada program pengurusan karbon berasaskan alam semula jadi dijalankan oleh OIES.
Menurutnya lagi, OIES juga berminat menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan program fellowship khusus berkaitan mekanisme dagangan karbon, pengurusan karbon hutan dan rangka dasar perundangan.
“Ini selaras dengan usaha Sarawak membangunkan peraturan dagangan karbon,”tambahnya.
Sementara itu, delegasi Sarawak yang mengadakan lawatan ke sini turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dato Hilmy Othman; Dr. Jady @ Zaidi Hassim daripada Jabatan Peguam Negara Negeri dan Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dr. Rudzaimeir Malek.